Gambaran keseluruhan Keluarga_Malaysia

Keluarga Malaysia sempat diperkenalkan oleh Wan Azizah beberapa bulan sebelum krisis politik terjadi.

Konsep Keluarga Malaysia pertama kali diuar-uarkan sebagai agenda nasional oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Wan Azizah Wan Ismail pada November 2019 beberapa bulan sebelum krisis politik terjadi.[6] Bagaimanapun, ia diperkenalkan sebagai gagasan secara rasmi oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 pada 22 Ogos 2021.[1] Menurut Ismail Sabri, konsep ini bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak semua rakyat di negara ini bersama-sama sebagai sebuah keluarga yang utuh.[2][7][8] Konsep ini dipilih kerana "bersifat inklusif, dekat dengan rakyat dan menunjukkan satu nilai prihatin serta kasih sayang semua ahli keluarga besar negara".[9] Ismail Sabri dalam ucapannya berkata:

“Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga. Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri, sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,”.[1]

Teras

Konsep 'Keluarga Malaysia' menggariskan 3 teras utama dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri, untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik COVID-19. Tiga teras utama tersebut ialah Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.[2]

Dasar awam

Meletakkan perpaduan dan keharmonian sebagai asas negara ialah matlamat Keluarga Malaysia.[10] Keberhasilan Kebahagiaan (Bahasa Inggeris: Key Happiness Outcome; KHO) telah digunakan bagi memantau pelaksanaan konsep ini untuk melengkapi Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Ismail Sabri, KHO dan KPI menjadi komitmen dan kesungguhan kerajaan, untuk membawa negara keluar daripada kelelahan pandemik COVID-19 selain akan memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report yang ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-81.[11]

Menurut Ismail Sabri, Keluarga Malaysia berpaksikan kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara dan nilai setiap keluarga ini juga disifatkan sebagai komponen penting demi menentukan jatuh atau bangun Malaysia.[12] Beliau turut memberi jaminan bahawa nasib setiap individu dalam Keluarga Malaysia akan terbela.[13]

Rujukan

WikiPedia: Keluarga_Malaysia http://www.keluargamalaysia.gov.my https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12... https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/745635/... https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/745692/... https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/748458/... https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/10/769638/...